11 APRIL
LANGKAH ATASI MASALAH PELAJAR BUMIPUTERA DALAM BIDANG SAINS
Pada hari ini 11.4.1957, Universiti Malaya mengumumkan empat langkah yang akan dijalankan bagi menambah bilangan penuntut bumiputera di Fakulti Sains.
Langkah-langkah tersebut ialah :
1. Menambah dan memperbaiki lagi kursus pra-sains yang telah dijalankan oleh pihak Universiti sejak dua tahun yang lalu.
2. Memberi pertimbangan kepada pemegang-pemegang diploma kursus sains MARA untuk masuk menuntut secara langsung dalam tahun pertama dan kedua.
3. Menubuhkan sebuah pusat pengajian sains pra-universiti yang bebas di luar fakulti sains bagi menyediakan calon-calon ke Universiti.
4. Menambah serta memperbaiki lagi bagi tutorial dan kelas-kelas bimbingan bagi penuntut-penuntut bumiputera tahun pra-sains dan tahun satu dalam fakulti itu.
Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Ungku Aziz berkata langkah-langkah yang dikuatkuasakan mulai sesi 1975–1976 ini menunjukkan kesedaran pihaknya terhadap kekurangan bilangan pelajar bumiputera dalam bidang sains di negara ini. Dasar baru itu disediakan untuk pelajar-pelajar di Fakulti Sains Universiti Malaya bagi tahun pengajian akan datang. Manakala berkaitan dengan penubuhan Pusat Sains pula yang dirancangkan itu bertujuan untuk memperbetulkan sebarang ketidakseimbangan penuntut bumiputera dengan bukan bumiputera di Fakulti Sains. Pusat ini akan menyediakan pelajar-pelajar bumiputera untuk memasuki Fakulti Sains. Pengumuman yang dibuat pada hari ini dengan jelas menggambarkan usaha-usaha pihak kerajaan bagi memberi peluang kepada bumiputera yang terlibat dalam lapangan yang sangat penting kepada pembangunan negara serta akan mewujudkan keseimbangan kaum dalam bidang pekerjaan apabila mereka keluar bekerja nanti.
7 APRIL
PENGUMUMAN PERTUKARAN NAMA MSC KEPADA ‘MSC MALAYSIA’
Pada hari ini dalam tahun 2006, Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi mengumumkan perubahan nama Koridor Raya Multimedia (MSC) kepada ‘MSC Malaysia’. Pengumuman tersebut di buat pada Majlis sambutan ulang tahun ke-10 MSC serta pelancaran inisiatif multimedia kreatif serta penjenamaan baru. Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis. Langkah menyegarkan jenama dan imej MSC bertujuan untuk memberi lebih penekanan kepada inisiatif sebagai projek nasional agar manafaatnya dapat dikecapi oleh setiap rakyat Malaysia. Slogan baru itu mencerminkan strategi serampang dua mata MSC iaitu sebagai pemancu dan pemangkin bagi sektor Teknologi Maklumat dan Komunikas (ICT) tempatan dan global, selaras dengan usaha kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), pembangunan industri ICT sebagai stategi penting dalam menyokong usaha besar negara bagi mencapai tahap ekonomi berasaskan pengetahuan. Melalui penjenamaan semula ini, MSC Malaysia bertindak memperbaharui kaedah, pendekatan, dan strategi mencapai matlamat selaras dengan keperluan dan cabaran semasa, sementara tumpuan dan matlamat asal ‘MSC Malaysia’ masih kekal pada asas dan prinsipnya. Sesungguhnya langkah penjenamaan yang mengandingkan perkataan Malaysia dengan MSC dalam jenama ‘MSC Malaysia’ telah mempertingkatkan kedudukan Malaysia sebagai hab ICT dan multimedia dunia.
6 APRIL
PERASMIAN WAKTU STANDARD MALAYSIA
Pada hari ini dalam tahun 1993, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ahmad Sarji telah merasmikan Waktu Standard Malaysia bertempat di SIRIM, Shah Alam, Selangor. Waktu Standard Malaysia merupakan waktu yang diselaraskan oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) yang telah dilantik oleh kerajaan sebagai penyimpan Waktu Standard Malaysia pada 5 Ogos 1992 yang dipertanggungjawabkan mengendalikan sistem ini sebagai sumber rujukan yang unggul di Malaysia. Waktu Standard ini telah selaraskan dengan standard frekuensi, masa dan waktu yang diselenggarakan oleh National Institute of Standard and Technology (NIST) serta United State Naval Observatory di Amerika Syarikat. Pada majlis tersebut, Tan Sri Ahmad Sarji telah menekan satu butang yang menandakan bermulanya Waktu Standard Malaysia tepat pada pukul 10:01 pagi dan 24 saat (10:01:24). Dalam ucapannya, beliau telah menyatakan dengan pertumbuhan pesat sektor perindustrian berteknologi tinggi, keperluan untuk merujuk kepada pelbagai standard pengukuran adalah sesuatu yang wajib bagi menjamin kualiti produk yang dihasilkan. Lanjutan daripada ini, kerajaan telah menetapkan agar Waktu Standard Malaysia disebarkan kepada umum yang melalui RTM, TV3 dan Syarikat Telekom Malaysia Berhad.