MUTIARA KATA


Orang besar bukan orang yang otaknya sempurna tetapi orang yang mengambil sebaik-baiknya dari otak yang tidak sempurna.
Semua orang tidak perlu menjadi malu karena pernah berbuat kesalahan, selama ia menjadi lebih bijaksana daripada sebelumnya.

HARI INI DALAM SEJARAH

11 APRIL
LANGKAH ATASI MASALAH PELAJAR BUMIPUTERA DALAM BIDANG SAINS
Pada hari ini 11.4.1957, Universiti Malaya mengumumkan empat langkah yang akan dijalankan bagi menambah bilangan penuntut bumiputera di Fakulti Sains.
Langkah-langkah tersebut ialah :
1.       Menambah dan memperbaiki lagi kursus pra-sains yang telah dijalankan oleh pihak Universiti sejak dua tahun yang lalu.
2.       Memberi pertimbangan kepada pemegang-pemegang diploma kursus sains MARA untuk masuk menuntut secara langsung dalam tahun pertama dan kedua.
3.       Menubuhkan sebuah pusat pengajian sains pra-universiti yang bebas di luar fakulti sains bagi menyediakan calon-calon ke Universiti.
4.       Menambah serta memperbaiki lagi bagi tutorial dan kelas-kelas bimbingan bagi penuntut-penuntut bumiputera tahun pra-sains dan tahun satu dalam fakulti itu.
Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Ungku Aziz berkata langkah-langkah yang dikuatkuasakan mulai sesi 1975–1976 ini menunjukkan kesedaran pihaknya terhadap kekurangan bilangan pelajar bumiputera dalam bidang sains di negara ini. Dasar baru itu disediakan untuk pelajar-pelajar di Fakulti Sains Universiti Malaya bagi tahun pengajian akan datang. Manakala berkaitan dengan penubuhan Pusat Sains pula yang dirancangkan itu bertujuan untuk memperbetulkan sebarang ketidakseimbangan penuntut bumiputera dengan bukan bumiputera di Fakulti Sains. Pusat ini akan menyediakan pelajar-pelajar bumiputera untuk memasuki Fakulti Sains. Pengumuman yang dibuat pada hari ini dengan jelas menggambarkan usaha-usaha pihak kerajaan bagi memberi peluang kepada bumiputera yang terlibat dalam lapangan yang sangat penting kepada pembangunan negara serta akan mewujudkan keseimbangan kaum dalam bidang pekerjaan apabila mereka keluar bekerja nanti.


7 APRIL
PENGUMUMAN PERTUKARAN NAMA MSC KEPADA ‘MSC MALAYSIA’
Pada hari ini dalam tahun 2006,  Perdana Menteri,  YAB Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi mengumumkan perubahan nama Koridor Raya Multimedia (MSC) kepada ‘MSC Malaysia’.  Pengumuman tersebut di buat pada Majlis sambutan ulang tahun ke-10 MSC serta pelancaran inisiatif multimedia kreatif serta penjenamaan baru.  Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis. Langkah menyegarkan jenama dan imej MSC bertujuan untuk memberi lebih penekanan kepada inisiatif sebagai projek nasional agar manafaatnya dapat dikecapi oleh setiap rakyat Malaysia. Slogan baru itu mencerminkan strategi serampang dua mata MSC iaitu sebagai pemancu dan pemangkin bagi sektor Teknologi Maklumat dan Komunikas (ICT) tempatan dan global, selaras dengan usaha kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), pembangunan industri ICT sebagai stategi penting dalam menyokong usaha besar negara bagi mencapai tahap ekonomi berasaskan pengetahuan.  Melalui penjenamaan semula ini, MSC Malaysia bertindak memperbaharui kaedah, pendekatan, dan strategi mencapai matlamat selaras dengan keperluan dan cabaran semasa, sementara tumpuan dan matlamat asal ‘MSC Malaysia’ masih kekal pada asas dan prinsipnya.  Sesungguhnya langkah penjenamaan yang mengandingkan perkataan Malaysia dengan MSC dalam jenama ‘MSC Malaysia’ telah mempertingkatkan kedudukan Malaysia sebagai hab ICT dan multimedia dunia.


6 APRIL
PERASMIAN WAKTU STANDARD MALAYSIA
Pada  hari  ini  dalam  tahun  1993,   Ketua  Setiausaha  Negara,  Tan  Sri  Ahmad  Sarji  telah  merasmikan  Waktu  Standard  Malaysia  bertempat  di  SIRIM,  Shah  Alam,  Selangor.  Waktu  Standard  Malaysia  merupakan  waktu  yang  diselaraskan  oleh  Institut  Piawaian  dan  Penyelidikan  Perindustrian  Malaysia  (SIRIM)  yang  telah  dilantik  oleh  kerajaan  sebagai  penyimpan  Waktu  Standard  Malaysia  pada  5  Ogos  1992  yang  dipertanggungjawabkan mengendalikan  sistem  ini  sebagai  sumber  rujukan  yang  unggul  di Malaysia.  Waktu  Standard  ini  telah  selaraskan  dengan  standard  frekuensi,  masa  dan  waktu  yang  diselenggarakan  oleh  National  Institute  of  Standard  and  Technology  (NIST)  serta  United  State  Naval  Observatory  di  Amerika  Syarikat.  Pada  majlis  tersebut,  Tan  Sri  Ahmad  Sarji  telah  menekan  satu  butang  yang  menandakan bermulanya  Waktu  Standard  Malaysia  tepat  pada  pukul  10:01  pagi  dan  24  saat  (10:01:24).  Dalam  ucapannya, beliau  telah  menyatakan  dengan  pertumbuhan  pesat  sektor  perindustrian  berteknologi  tinggi,  keperluan  untuk  merujuk  kepada  pelbagai  standard  pengukuran  adalah  sesuatu  yang  wajib  bagi  menjamin  kualiti  produk  yang  dihasilkan.  Lanjutan  daripada  ini,  kerajaan  telah  menetapkan agar  Waktu  Standard  Malaysia   disebarkan  kepada  umum  yang    melalui  RTM,  TV3 dan  Syarikat  Telekom  Malaysia  Berhad.